1,494 pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM 2025 terima anugerah Kerajaan Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 28 Jun – Sebanyak 1,494 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 yang mencatat keputusan cemerlang menerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan berupa wang tunai RM500 daripada Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini.
Penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin Daud pada majlis yang berlangsung di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Nasuruddin berkata, jumlah pelajar cemerlang di Kelantan terus menunjukkan peningkatan daripada 1,300 orang tahun lalu kepada 1,494 orang pada tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM747,000 bagi menghargai pencapaian pelajar terbabit.
Sumber: inforakyat.kelantan.my