Ujian Kepala Air Tidak Patahkan Semangat 30 Peserta ‘Ride To Dabong’
BESUT – Detik cemas dilanda kepala air sepanjang dua hari berkampung di Pondok Pok Teh, Sungai Kenerong, Dabong, tidak mematahkan semangat dan kecekalan 30 peserta program jaulah bermotosikal ‘Ride to Dabong’.
Malah, program anjuran Pemuda PAS DUN Jerteh dengan kerjasama Alternatif Riding Club (ARC) Besut itu tetap berjalan rancak dengan aktiviti barbeku ayam madu bersama pelajar pondok, selain berjaya melaksanakan misi kebajikan bagi membantu institusi pendidikan Islam tersebut.
Ketua Pemuda PAS DUN Jerteh, Safwan Sukeri mendedahkan, seluruh anggota konvoi diuji dengan fenomena alam tersebut sejak hari pertama ketibaan, sehinggalah menjelang waktu mereka bertolak pulang.
“Selama dua hari berkampung di sana, kami diuji dengan fenomena kepala air. Bagaimanapun, alhamdulillah, segala-galanya selesai dengan selamat,” katanya ketika ditemui menceritakan kembali detik-detik mencabar yang dilalui oleh para peserta.
Menurut beliau, ancaman keselamatan itu langsung tidak memadamkan kegembiraan mereka untuk terus meneroka pengalaman unik sepanjang program jaulah berkenaan.
“Walaupun dalam keadaan berjaga-jaga disebabkan kepala air, nikmat menunggang motosikal, merasai kedinginan air sungai, serta beraktiviti bersama pelajar pondok membuatkan ikatan ukhuwah kami terasa sangat akrab dan luar biasa,” ujar Safwan lagi.
Selain kebersamaan menerusi aktiviti barbeku, kata beliau, konvoi ini turut meninggalkan impak besar menerusi penyerahan sumbangan hasil kutipan derma yang digerakkan dalam kalangan peserta dan jawatankuasa terlibat.
“Sumbangan kewangan tersebut diserahkan terus kepada pihak pentadbiran Pondok Pok Teh bagi tujuan menyediakan kemudahan set jana kuasa (genset) atau sistem inverter solar untuk kegunaan serta bekalan tenaga harian para pelajar di sana.” Ujarnya.
Bagi pemantapan pengisian rohani, katanya, program sebelah malam diisi dengan Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Besut, Ustaz Mukhlis Hasin, manakala solat berjemaah pula diimami oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Ulama PAS Kawasan Besut, Ustaz Adib Abd Aziz.
“Majlis pelepasan para peserta telah disempurnakan dengan jayanya oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jerteh, YB Dr. Riduan Mohamad Nor.
“Dalam ucapan perasmiannya sebelum ini, Dr. Riduan menitipkan doa agar seluruh peserta dikurniakan keselamatan sepanjang perjalanan pergi dan pulang, sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, serta dipermudahkan segala urusan.” kata Safwan
Justeru Safwan menambah, program bermotosikal dua hari ini pada asalnya dirancang bagi mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan pemuda selain memberi pengisian rohani dan pengalaman bermakna kepada semua pihak yang terlibat.
“Pihak penganjur menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa program dan peserta yang memberikan komitmen luar biasa sehingga jaulah ini berjaya mencapai objektifnya dengan selamat dan penuh keberkatan.” Kata beliau lagi