Hijrah Rasulullah titik perubahan penting dakwah Islam – Menteri Besar Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 17 Jun – Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah merupakan titik perubahan penting dalam perjalanan dakwah Islam.
Demikian menurut Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam perutusan sempena Sambutan Hijratul Rasul 1448H peringkat Negeri Kelantan 1448H/2026M yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam tadi.
Katanya lagi, sepanjang 13 tahun berada di Mekah, Rasulullah SAW bersama para sahabat baginda berdepan pelbagai ujian, tekanan dan penentangan daripada golongan musyrikin dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
Mengulas lanjut beliau menegaskan, peristiwa Hijrah membuka lembaran baharu kepimpinan Islam yang dipacu semangat jihad sehingga Islam berkembang ke seluruh dunia.
“Kegemilangan ini lahir daripada pengorbanan dan ketabahan Rasulullah SAW serta para sahabat baginda dalam menempuh pelbagai ujian.
“Demikianlah sunnatullah dalam membangunkan ummah yang menuntut hijrah dan jihad dengan penuh iman, pengorbanan dan istiqamah,” jelasnya.
Dato’ Mohd Nassuruddin berharap semangat Hijrah akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya ummah yang berkualiti, masyarakat yang sejahtera serta negeri yang sentiasa dinaungi keberkatan Allah SWT.
Sumber: inforakyat.kelantan.my