Fun Walk NGO Khadijah Bentong semarak budaya hidup sihat

BENTONG, 14 Jun – Program Fun Walk anjuran Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong dengan kerjasama Nisa’ Bentong berjaya menghimpunkan masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat umur di Taman Rekreasi Felda Mempaga, di sini, semalam.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong, Yusma Yusoff berkata, sambutan yang diterima membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat semakin meningkat, di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat.
Beliau berkata, program yang berlangsung dalam suasana santai dan ceria itu berjaya menarik penyertaan golongan lelaki dan wanita dewasa serta kanak-kanak yang turut sama menyertai aktiviti berjalan kaki tersebut.
Menurutnya, penganjuran program itu bukan sahaja bertujuan membudayakan amalan riadah dan gaya hidup aktif, malah menjadi medan untuk memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kami amat teruja melihat sokongan yang diberikan. Penyertaan daripada pelbagai peringkat umur membuktikan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan semakin meningkat. Lebih penting, program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk berkenalan, beramah mesra serta mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Yusma berkata, selain aktiviti berjalan santai bersama keluarga, para peserta turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk cabutan bertuah serta hadiah menarik yang menambahkan lagi kemeriahan program.
“Kami akan terus merancang pelbagai program bermanfaat yang dapat menjadi platform untuk menyatukan masyarakat melalui aktiviti yang sihat serta membawa manfaat kepada semua,” katanya.
