LRA Bukit Chupak bekal 10 JLH, manfaatkan 20,000 penduduk Gua Musang
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
GUA MUSANG, 11 Jun – Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak yang mempunyai keupayaan membekalkan sehingga 10 juta liter air sehari (JLH) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk di jajahan ini.
Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin Daud berkata projek itu membawa harapan besar kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa menerusi akses kepada bekalan air bersih yang lebih stabil, berkualiti dan berterusan.
Katanya, siapnya LRA berkenaan turut menambah keyakinan rakyat terhadap usaha berterusan kerajaan serta agensi berkaitan dalam menyediakan bekalan air yang lebih baik.
“Inilah harapan yang sekian lama didambakan oleh rakyat dan menjadi amanah yang sentiasa kami pikul demi kesejahteraan setiap keluarga di negeri Kelantan.”
Sumber: inforakyat.kelantan.my