NegeriTerengganu

Penyatuan Melayu-Islam Hadapi Gelombang Politik Baharu

KUALA TERENGGANU – PAS menyeru parti-parti politik Melayu-Islam supaya memperkukuhkan kerjasama dan mengetepikan perbezaan bagi menghadapi gelombang perubahan politik yang dijangka berlaku susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor serta beberapa negeri lain.

Timbalan Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembubaran DUN Johor membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju politik negeri dan negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam serta memperkukuhkan pengaruh Bumiputera di seluruh Malaysia.

Menurutnya, matlamat tersebut hanya dapat dicapai melalui muafakat dan toleransi antara parti-parti politik utama Melayu-Islam.

Beliau berkata beberapa isu penting yang memberi kesan kepada orang Melayu dan umat Islam perlu diberikan perhatian serius termasuk pengiktirafan UEC, bantahan terhadap titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu serta cabaran terhadap enakmen syariah negeri-negeri.

“Perpecahan politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan sedia ada telah menyebabkan pelbagai kesan yang dirasai pada hari ini.

“Keadaan ini sepatutnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan UMNO, untuk segera mencari titik persamaan demi masa depan bangsa dan ummah,” jelasnya dalam satu kenyataan media sosialnya, semalam.

Tuan Ibrahim berkata kekuatan politik Melayu tidak boleh dipisahkan daripada Islam yang menjadi asas penyatuan ummah serta pembentukan generasi berakhlak dan berpegang teguh kepada agama.

Beliau turut mengimbau sejarah kerjasama politik Melayu yang pernah terbentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 melalui penubuhan Barisan Nasional serta pembentukan Muafakat Nasional yang lahir daripada kebimbangan terhadap perkembangan politik ketika era kerajaan Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 direalisasikan bagi memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam dan memastikan hak semua rakyat dapat dipelihara dalam suasana aman serta harmoni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️