KelantanNegeri

Pengguna digalak gunakan MyAKSB bagi aduan dan bayaran bil air

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 24 Mei – Pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) digalakkan menggunakan aplikasi MyAKSB bagi memudahkan urusan berkaitan perkhidmatan bekalan air termasuk aduan dan pembayaran bil.

Exco Kerjaraya,Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, rakyat Kelantan khususnya pengguna air AKSB boleh memanfaatkan aplikasi tersebut untuk pelbagai urusan selain dijamin menerima maklum balas lebih cepat dan berkesan.

Menurutnya, pengguna perlu memasang aplikasi berkenaan untuk berurusan dengan AKSB melalui MyAKSB.

“Banyak maklumat mengenai AKSB terdapat dalam aplikasi itu. Untuk membayar bil boleh, aduan dan cadangan juga boleh dibuat melalui MyAKSB.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan dan Persediaan AKSB untuk Hari Raya Aidiladha, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah pengguna aplikasi itu masih rendah berbanding keseluruhan akaun pengguna AKSB.

“Daripada hampir 300,000 pengguna, tidak sampai 10 peratus iaitu kira-kira 30,000 pengguna sahaja yang menggunakan aplikasi AKSB,” katanya.

Mengulas persediaan bekalan air sempena Hari Raya Aidiladha Dato’ Dr Izani berkata, penambahan lori air segera terpaksa dilakukan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna yang memerlukan.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️