Gangguan bekalan air di Rantau Panjang selesai
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media AKSB
KOTA BHARU, 20 Mei – Isu gangguan bekalan air yang menjejaskan kira-kira 320 akaun pengguna di Kampung Bukit Tandak, Kampung Kubang Kuar, Kampung Barul Pial dan Kampung Bendang Ikan di Rantau Panjang selesai susulan siapnya projek telaga milik Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) berkapasiti 1.5 juta liter sehari (JLH).
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi laman rasminya pada Selasa memaklumkan, krisis bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk di kawasan terbabit kini dapat diatasi selepas telaga berkenaan siap dibina dan diserahkan kepada AKSB bagi tujuan pengagihan bekalan air kepada pengguna.
Menurut kenyataan itu, bekalan air daripada telaga terbabit akan disalurkan ke beberapa kawasan utama iaitu Kampung Bukit Tandak, Kampung Kubang Kuar, Kampung Barul Pial dan Kampung Bendang Ikan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my