MB Kelantan, Exco Pelancongan perincikan laluan KB-Jakarta dengan AirAsia
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco Pelancongan
KUALA LUMPUR, 13 Mei — Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bersama Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor mengadakan pertemuan strategik dengan pihak AirAsia bagi memperincikan persiapan akhir pelancaran penerbangan terus Kelantan–Jakarta sempena siri Promosi Pelancongan Negeri Kelantan ke Jakarta.
Pertemuan tersebut berlangsung di Lounge AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Menurut Dato’ Mohd Nassuruddin, diskusi itu adalah langkah penting kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Kelantan-Indonesia, sekali gus membuka laluan baharu kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri.
Sementara itu, Datuk Kamarudin pula menjelaskan, delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Kelantan telah mengadakan perbincangan bersama pengurusan AirAsia bagi menyelaras persediaan akhir sebelum laluan penerbangan tersebut dilancarkan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my