Tegas berpendirian, elak fitnah teras penulisan media profesional – YB Nik Bahrum
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 5 Mei – Prinsip tegas dalam penulisan tanpa terjerumus ke kancah fitnah menjadi garis pemisah utama antara kewartawanan beretika dan penyebaran maklumat yang mencemarkan reputasi.
Demikian penegasan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah ketika merasmikan Bengkel Penulisan Efektif Era Digital di Dewan Teratai Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa penulis boleh berpendirian dan bersikap tegas dalam menyampaikan pandangan, namun tidak sekali-kali boleh mengabaikan batas kebenaran sehingga menghasilkan tulisan berunsur fitnah.
“Secara mudah, sesuatu tulisan boleh menjadi fitnah dalam tiga keadaan. Pertama, apabila kandungannya tidak benar dan tidak dapat disahkan. Kedua, apabila ia merujuk kepada individu tertentu sama ada secara jelas atau melalui bayangan (innuendo) dan ketiga, apabila tulisan itu disebarkan sehingga menjatuhkan maruah atau reputasi pihak berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kefahaman terhadap garis halus tersebut amat penting dalam era media digital yang pantas dan terbuka, bagi memastikan setiap kandungan yang dihasilkan kekal berintegriti serta tidak menyimpang daripada etika kewartawanan.
Dalam masa sama, beliau yang mengikuti bengkel tersebut dari awal bersetuju bahawa penulisan berita yang menggabungkan unsur kemanusiaan serta disiplin 5W1H perlu diperkasa agar setiap peristiwa dirakam secara tepat, berfakta dan memberi nilai kepada masyarakat.
Sumber: inforakyat.kelantan.my