Kelantan, TVET dan tafsiran kemajuan
Oleh: Norzana Razaly
DALAM wacana pembangunan nasional, satu kecenderungan sering berulang – menilai maju atau mundurnya sesebuah negeri dengan neraca sempit. Negeri yang dipenuhi citra industri berat, bangunan kaca, dan gaya hidup metropolitan dipersepsikan sebagai progresif.
Sebaliknya, negeri yang tekal memelihara agama, budaya dan adab tempatan sering disalah baca sebagai lambat, tertutup atau tidak berdaya saing. Dalam konteks inilah Kelantan kerap menjadi sasaran stereotaip. Namun perkembangan mutakhir dalam dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri menunjukkan bahawa tanggapan tersebut semakin goyah.
Berdasarkan pengumuman terkini, Kelantan sedang merintis laluan latihan berteknologi tinggi ke Korea Selatan dan Jerman, sambil mengekalkan pendidikan Islam sebagai paksi pembinaan insan.
Apa yang sedang berlaku di Kelantan penting dibaca sebagai anjakan makna terhadap konsep pembangunan itu sendiri. Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, kerajaan negeri merancang menghantar 15 pelajar aliran agama ke Korea Selatan bagi mengikuti latihan dalam bidang enjin, elektrik dan teknologi kenderaan elektrik, sementara laluan ke Jerman sedang dirintis.
Dalam masa yang sama, pengajian Islam terus diperkukuh melalui penawaran pengajian ke Tunisia dan usaha mendapatkan kuota khas di Algeria. Ini menandakan bahawa Kelantan tidak memilih antara agama dan teknologi tetapi menyusun kedua-duanya dalam satu kerangka pembangunan insan yang saling melengkapi.
Berkemahiran dan berakhlak
Kemajuan dalam definisi Kelantan, merujuk soal jenis manusia yang hendak dibentuk oleh sesebuah masyarakat. Dalam tradisi teori pembangunan manusia, negara atau wilayah yang benar-benar maju menghasilkan pekerja cekap dan membina warga yang mempunyai keupayaan teknikal, kejelasan moral dan ketahanan budaya.
Kelantan, melalui gagasan TVET Rabbani, sedang mengemukakan model bahawa tenaga mahir tidak semestinya lahir daripada proses sekularisasi nilai. Sebaliknya, kemahiran tinggi boleh dibangunkan bersama pembentukan akhlak, amanah dan integriti kerja. Dengan kata lain, negeri ini sedang menawarkan naratif bahawa pekerjaan juga ialah ibadah, bukan semata-mata fungsi pasaran.
Ekosistem kemahiran diperkukuh
Maklumat rasmi Jabatan Pembangunan Kemahiran pula menunjukkan pendekatan Akademi Dalam Industri (ADI) menekankan latihan berasaskan pekerjaan, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi latihan dan realiti industri.
Majlis pentauliahan ADI di Kelantan pada 13 April 2026 melibatkan sembilan pemain industri dan institusi tempatan memperlihatkan bahawa ekosistem kemahiran di negeri ini sedang diperkukuh secara sistematik.
Sumber: inforakyat.kelantan.my