Budaya bantu-membantu perlu diperkukuhkan demi meringankan beban masyarakat

Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 10 Mac – Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu menyeru masyarakat supaya terus meningkatkan keprihatinan dan semangat saling membantu dalam meringankan beban golongan memerlukan.
Menurutnya, budaya saling membantu perlu terus diperkukuh kerana ia menjadi kekuatan masyarakat dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Kita perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan membantu mereka yang memerlukan. Inilah nilai yang perlu dipelihara dalam masyarakat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bakul Makanan DUN Beserah di Balok, di sini hari ini.
Beliau turut menasihati para penerima agar menjadikan bantuan tersebut sebagai pemangkin semangat untuk terus berusaha dan tidak berputus asa dalam memperbaiki taraf hidup sehingga suatu hari nanti mereka pula berpeluang menjadi penyumbang kepada golongan lain yang memerlukan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang memberi kepercayaan kepadanya sebagai wakil rakyat, namun menjelaskan sumbangan yang disampaikan adalah terhad kerana tiada peruntukan daripada kerajaan negeri, sebaliknya digerakan melalui sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengarah Program Salbiah Seeni Abdul berkata sumbangan barangan makanan tersebut disampaikan kepada lebih 70 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, anggota Jabatan Amal serta guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dengan jumlah perbelanjaan sekitar RM6,000.
