Layanan adil untuk semua kaum di Kelantan, walaupun berbeza agama dan bangsa, kita satu keluarga – Exco Agama
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 16 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada sebarang perbezaan layanan antara kaum dalam masyarakat di Kelantan walaupun berbeza bangsa dan agama.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, semua kaum adalah berasal daripada keturunan yang sama dan wajar hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
“Kita tidak pernah membezakan antara bangsa dalam masyarakat. Contohnya ini Melayu, ini Cina, ini India. Tidak ada perbezaan.
“Kita daripada datuk nenek yang sama. Kalau kita susur galur keturunan, boleh jadi ratusan pupu kita antara satu sama lain. Jadi kita semua waris.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Santuni Masyarakat Tionghua sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Taman Hijau, di sini pada, Ahad.
Sumber: inforakyat.kelantan.my