NegeriTerengganu

Kebajikan Dan Penghargaan Buat Warga Pendidik

Oleh ; Wan Mohammad Omar Ajmain

HULU TERENGGANU – PAS Kawasan Hulu Terengganu terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan warga pendidik apabila lebih 170 guru dari PASTI, Sekolah Darul Ehsan (DAR) dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) diraikan dalam program ziarah kebajikan.

Program yang diketuai Yang Dipertua PAS Hulu Terengganu , YB Maliaman Kassim itu disertai oleh wakil Lujnah Kebajikan PAS Negeri Terengganu, Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Hulu Terengganu dan pasukan sukarelawan.

Dalam kunjungan penuh mesra itu, para guru menerima sumbangan bakul makanan sebagai tanda ingatan dan penghargaan terhadap usaha mereka mendidik generasi muda berasaskan nilai Islam.

Menurut Maliaman, program sebegini bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi simbol kasih sayang dan penghormatan terhadap peranan besar para pendidik dalam membina generasi rabbani yang cemerlang dunia dan akhirat.

“Walaupun kecil nilainya, sumbangan ini besar maknanya sebagai tanda kasih dan penghargaan kami kepada guru-guru yang saban hari berjuang mendidik anak-anak umat,” katanya selepas penyerahan sumbangan tersebut, semalam.

Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif kebajikan ini diteruskan dari semasa ke semasa sebagai tanda kebersamaan masyarakat menghargai barisan pendidik yang menjadi tulang belakang pembangunan insan di Hulu Terengganu.

Guru-guru yang diraikan turut melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan, serta berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan bagi menyemarakkan lagi semangat perjuangan dalam dunia pendidikan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️