Muktamar Wadah Amanah dan Ukhwah Muslimat Setiu
KUALA TERENGGANU – Muktamar Muslimat PAS Kali Ke-65 tahun ini bukan sekadar medan perhimpunan tahunan, sebaliknya merupakan wadah penting untuk menunaikan amanah dan memperkukuh ukhwah dalam kalangan muslimat.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Setiu, Wan Ramlah Wan Abdul Rahman, seramai empat orang perwakilan hadir Muktamar kali ini.
“Objektif kita adalah untuk memberi pendedahan kepada muslimat apabila melihat sendiri bagaimana atur cara muktamar berjalan.
Ini satu pengalaman yang sangat berharga. Yang lebih penting, ukhwah dapat dijalin dengan lebih erat apabila bertemu sahabat-sahabat dari kawasan dan negeri yang berbeza,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Wan Ramlah turut menekankan peranan empat perwakilan muslimat Setiu agar benar-benar menghayati maksud keberadaan mereka di muktamar.
“Pertama, ikhlaskan hati masing-masing. Kedua, ingat bahawa kita membawa amanah semua muslimat Setiu, bukan sekadar hadir atau melancong.
“Ketiga, kutip apa saja mutiara dan bawa balik ke Setiu agar dapat dimanfaatkan oleh semua muslimat Setiu,” pesannya.
Justeru itu, beliau berharap agar muslimat menjadikan muktamar sebagai program tahunan wajib kerana banyak kelebihan yang boleh diperoleh, walaupun tiada usul dibawa oleh Setiu pada kali ini.
“Jumlah peserta dari Setiu tidak dapat dipastikan, tapi setakat ni kita gempur satu dun sebuah bas.
“Di samping ramai yang pergi sendiri bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Muktamar kali ini turut menyaksikan pemilihan, dengan seorang calon daripada Muslimat Terengganu bertanding.