10 Tindakan Strategik Muslimat
Oleh; RR
KUALA TERENGGANU β Sepuluh tindakan strategik digariskan bagi memperkukuh peranan Muslimat PAS di semua peringkat, selari dengan tuntutan semasa dan cabaran politik yang semakin mencabar.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To Puan Hajah Zarani Othman berkata, seluruh kepimpinan dan ahli diseru menghayati tema tahun ini, βMuslimat Istiqamah Teguh Memimpinβ, sebagai asas dalam menggerakkan perjuangan parti dan menyantuni masyarakat.
βPenghayatan terhadap tema ini akan menjadi asas kekuatan dalam setiap aspek gerak kerja Muslimat, sama ada dalam tarbiyah, pengurusan, dakwah mahupun khidmat masyarakat,β katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu kali ke 52 di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai pada semalam.
Turut ditekankan ialah keperluan memperkukuh tarbiyah melalui pendekatan seperti usrah, tamrin dan mukhayyam, selain meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan organisasi serta memastikan pemantauan berterusan di semua peringkat.
βPemerkasaan kepimpinan dan pengurusan profesional bagi memperkemas urus tadbir dan pengurusan organisasi secara lebih sistematik dan berkesan, serta melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan kualiti di semua peringkat,β jelasnya.
Dalam masa yang sama, penguasaan ilmu syariah dan kemahiran fardu kifayah juga perlu diperkasakan agar setiap Muslimat dapat membuat keputusan secara bijaksana dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
βPembangunan potensi dan perkaderan bagi melahirkan dan melatih lebih ramai naqibah, βmurabbiyahβ, jurucakap dan pengurus berwibawa, serta giat melaksanakan perkaderan ahli baru untuk kelangsungan kepimpinan masa hadapan,βujar Zarani.
Beliau turut menyeru Muslimat agar aktif menjuarai isu-isu semasa, masyarakat, termasuk isu wanita, keluarga dan anak muda, selain mempergiat program kebajikan dan dakwah yang menyantuni semua lapisan rakyat, termasuk bukan Islam.
βMengenal pasti dan membina generasi pelapis muslimat yang berakhlak dan berwibawa untuk memimpin parti dan kerajaan di peringkat DUN, kawasan dan negeri,β katanya.
Menyentuh soal persiapan menghadapi pilihan raya, kepimpinan Muslimat diingatkan supaya memperkemas jentera pilihan raya, memperluas capaian penerangan dan memupuk ketahanan dalam menghadapi cabaran politik semasa.