PKP 2.0 Lebih Teratur
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan bermula hari ini dilihat lebih teratur berbanding pelaksanaan pertama pada Mac tahun lalu .
Ketua Ameerah negeri Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor berkata, negara juga pada kali ini lebih bersedia dari segi aspek ekonomi dan kebajikan.
“Saya menasihatkan mengambil langkah pencegahan dan amal kebersihan serta jarak sosial yang selamat bagi mengelakkan jangkitan COVID-19,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PKP 2.0 yang dilaksanakan bermula pada hari ini, 22 Januari.
Katanya, jangan ambil mudah nasihat elak 3C dan amal 3W yang sering dipesan Kementerian Kesihatan untuk putuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Hikmah Duduk Rumah Sepanjang PKP, Waktu Terbaik Sebagai Ladang Pahala. Jangan Sia-Siakan masa. Tingkatkan amalan dan jaga hubungan dengan Allah,” ujar Zuraida.
Tambahnya, elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation).
“Manakala amalan 3W – kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” katanya.