Muafakat Nasional : Runtuhnya Tembok Fahaman Politik
DUNGUN – Muafakat Nasional telah berjaya meruntuhkan tembok politik yang menebal di kalangan masyarakat kampung di dalam menjayakan program – program untuk manfaat bersama.
Pengerusi Masjid Al-Mustaqim, Paya Pelandangan, Mokhtar Omar yang teruja dengan situasi itu berkata sekarang mereka boleh berkumpul bersama tanpa mengira fahaman politik, bergotong royong menjayakan program yang diatur oleh masjid.
” Walaupun orang PAS masih lagi PAS, orang Umno masih lagi Umno, tetapi mereka dapat bergaul dan dapat duduk bersama-sama kacau bubur asyura sambil bergurau, saya rasa seperti kejutan budaya,” ceritanya.
Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK ) Pulau Serai itu, berkata demikian ketika dihubungi di sini pada 28 September sempena Gotong Royong Kacau Bubur Asyura Perpaduan Ummah anjuran masjid tersebut pada 27 September.
Menurut Mokhtar, dengan penglibatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Pulau Serai, MPKK Bemban/Alor Mak Bah, MPKK Pelandang, Kelab Rukun Tetangga(KRT) PAKR Pulau Serai, KRT Pelandangan dan KRT Pulau Serai Rajawali dan pihak masjid telahberjaya mengumpulkan seramai lebih 200 orang komuniti kampung untuk bergotong royong di samping menghubungkan silaturahim.
“Sebanyak 13 kawah bubur asyura telah berjaya disediakan dengan 700 bekas telah diedarkan kepada ahli jemaah masjid seusai solat Jumaat.
” Saya bagi pihak masjid rasa puas hati kerana masyarakat kampung dapat sama-sama merasa ‘duit’ masjid dengan program ini, kita telah mengeluarkan lebih daripada RM5000, untuk menjayakan kacau bubur asyura ini,” katanya.
Beliau yang terharu dengan sambutan orang ramai dan yang datang seawal tujuh pagi turut memberitahu, jika sebelum ini, untuk mengumpulkan sepuluh orangpun agak sukar di dalam menjayakan program sebegitu.
” Saya nampak masing-masing seronok untuk bersama-sama mengimarahkan program yang diatur oleh masjid dan ada yang mencadangkan masjid turut mengadakan program-program gotong royong memasak untuk masjis-majlis kahwin,” tambahnya lagi.