PAS DUN Cukai Baiki Segera Rumah Mangsa Ribut
Oleh: Abdul Hafiz Ghazali
KEMAMAN β PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai mengambil tindakan pantas membaik pulih dengan segera semua rumah-rumah yang rosak akibat ribut.
Pengarah Majlis Tindakan DUN itu, Haji Hanafiah Mat berkata, semasa kejadian semalam, beliau telah mengarahkan semua Pengerusi Cawangan PAS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk bertindak segera terhadap mangsa ribut.
βKejadian itu menyebabkan 11 buah kediaman rosak teruk dan perlu dibaiki segera, dengan MPKK datang membantu tukang rumah bagi memudahkan urusan membaik pulih,β ujar beliau yang juga ADUN Chukai, di sini pada 17 Julai.
Katanya, hasil tindakan segera yang dilakukan oleh semua pihak, rumah-rumah mangsa sudah dibaik pulih.
βSaya nak pastikan bahawa kewujudan MPKK di setiap kampung adalah tempat berteduh rakyat bila dilanda musibah,β tegasnya.
Sehubungan itu Pembantu Penyelia Hal Ehwal Wanita, Nooreha Jusoh bersama kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN, telah melawat mangsa ribut dan mengambil maklumat lanjut.
Menurutnya, ia adalah bagi memastikan bantuan sewajarnya, sampai dengan cepat kepada penduduk yang terlibat dalam musibah.
βTugas dan peranan i-MiTS bukan semata-mata di dalam pejabat, tetapi juga turun membantu ketika berlaku musibah,β tegasnya.