NegeriTerengganu

Dua Janji Manifesto PAS Jabi Dilunasi

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Dua kemudahan asas rakyat yang menjadi bahan kempen Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi berjaya tunaikan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, isu yang dibangkitkan itu berjaya ‘membuang’ bebanan yang ditanggung selama ini oleh rakyat Jabi dalam tempoh lebih kurang setahun dua bulan usia kerajaan baru Terengganu.

“ Yang pertama, rintihan 15 keluarga di Kampung Jebak Puyoh yang terpaksa melalui jalan becak, berdebu dan berselut sejak lebih 40 tahun yang lalu, akhirnya telah diletakkan noktah dengan pembinaan jalan kampung sepanjang 1.6 kilometer dengan perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu pada 14 Februari lalu.

“Ia bukanlah lebuhraya enam lorong, tetapi jalan sepanjang 1.6 km itu terlalu besar maknanya bagi warga kampung ini untuk menghubungkan mereka dengan dunia luar,” jelasnya melalui aplikasi ‘Facebook’ milik peribadinya, pagi ini.

Menurut beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, pada hari ini, tercatat satu lagi tarikh keramat rakyat Jabi tanpa berulang alik ke Bandar Jerteh sejauh 15 kilometer semata-mata untuk mendapatkan kemudahan Mesin Juruwang Automatik (ATM).

‘’ Jauh sekali bagi penduduk Jabi untuk mengimpikan wujudnya khidmat bank bagi kemudahan kewangan mereka. Untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM pun mereka perlu ke Bandar Jerteh sejauh kira-kira 15 kilometer,” ujarnya.

Kata Dr Azman, warga Jabi majoritinya kelompok petani. Maka isu tersebut paling layak untuk dibincangkan dengan pihak Agrobank.

Menurut beliau, setelah melalui beberapa siri perbincangan, pada hari ini, 17 Julai 2019, Agro Bank telah menyempurnakan pemasangan mesin ATM bertempat di Stesen Caltex Jabi.

“Satu lagi kemudahan yang kecil tapi bermakna untuk kita orang kampung. Setinggi terima kasih dan penghargaan kepada pihak Pengurusan Agro Bank. Terima kasih juga kepada pengurusan Caltex Jabi.’’ katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️