DHPP Gariskan Lapan Agenda Perjuangan
KUANTAN: – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat telah menggariskan lapan agenda fokusnya bagi memperkasakan sayap parti PAS itu pada Konvensyen DHPP 2019.
Ketuanya, N.Balasubramaniam a/l Nachiappan berkata, pada Konvensyen Pertama DHPP di Terengganu tema ‘Memimpin Perpaduan’ dipilih.
Manakala, katanya konvensyen kali ini di Kuantan, Pahang ‘Bangkit dan Berjuang’ diangkat sebagai temanya.
“Saya telah menggariskan lapan agenda perjuangan DHPP yang perlu kita semua fahami dan hadam dengan sebaiknya.
“Pertama, DHPP perlu memastikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela melalui aktiviti yang dirancang selari dengan apa yang telah dilaksanakan oleh PAS.
“Kedua, DHPP perlu mendesak kerajaan Pusat mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat dan mematuhi manifesto seperti yang dijanjikanoleh PH (Pakatan Rakyat) semasa mereka berkempen ketika PRU14.
“Ketiga, DHPP mestilah meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda bertindaknya. Ia merangkumi aspek pekerjaan, pelajaran dan sosio-ekonomi. DHPP mesti memainkan peranannya dalam menjuarai isu rakyat ini.
“Keempat, DHPP mestilah sentiasa berusaha untuk menjaga perpaduan rakyat dengan menjauhkan sikap gemar mengadu-domba dan berkata nista serta menyebarkan kepalsuan yang akan menyebabkan hubungan sesama ahli dan masyarakat akan retak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kali Kedua di Dewan Hotel Seri Manja, Kuantan, Pahang, pada 21 Jun.
Konvensyen DHPP itu, dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan turut serta Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, mantan Naib Presiden, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh.
Sehubungan itu, katanya agenda kelima, DHPP perlu melaksanakan gerak kerja menambah keahlian yang mestilah dijadikan agenda dalam DHPP.
“Tahun lalu (2018), saya telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya keanggotaan DHPP akan bertambah 10 peratus daripada jumlah ahli yang sedia ada ini.
“Keenam, DHPP mestilah berjuang seiring dengan PAS kerana PAS telah menyediakan platform kepada DHPP untuk berjuang selama ini. DHPP akan berusaha untuk menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai contoh terbaik. Malah DHPP bersedia untuk bekerjasama dengan kedua-dua kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS ini bagi menjalankan peranan mendekati masyarakat bukan Islam.
“Ketujuh, DHPP terus konsisten menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 kerana menyakini bahawa ia akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada masyarakat Islam malah kepada masyarakat bukan Islam.
“Kelapan, DHPP mestilah fokus kepada kemenangan PRU15 dengan memperkuatkan jentera untuk memastikan bahawa jentera DHPP disemua peringkat akan membantu PAS dan gabungannya mencapai kemenangan dalam PRU yang akan datang,” jelasnya dihadapan hampir 200 peserta konvensyen itu.
Sebelum, DHPP turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipilih semula menerajui parti ini.