Tindakan Segera Selesai Masalah Banjir Kilat Di Kawasan Sekolah
SETIU – Banjir kilat yang sering melanda kawasan Sekolah Kebangsaan Bukit Jeruk sehingga menyebabkan kerosakkan kepada bangunan serta peralatan sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Dr Azman Ibrahim berkata, masalah laluan air yang tersumbat di bahagian belakang sekolah dikenalpasti sebagai punca utama air naik di kawasan terbabit.
Oleh itu, menurut beliau, satu lawatan telah diadakan bagi menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama
“Lawatan kerja (telah dlakukan) ke Sekolah Kebangsaan Bukit Jeruk Jabi bersama Jurutera Daerah JKR Besut, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Pejabat Tanah Besut dan JPS Besut,
“(setelah) saya menerima aduan berkaitan hal ini dari Jabatan Pendidikan Daerah semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah kelmarin,
“Oleh itu, pagi ini bersama Jabatan terlibat, kita mengambil tindakan segera untuk turun padang bagi membincangkan masalah ini di lokasi,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, ketika meninjau kawasan tersebut pada Isnin 6 Julai.
Katanya, beliau memohon kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera menyiapkan kertas pelan tindakan bagi penyelesaian segera.
“(kita minta) penyelesaian dalam masa seminggu memandangkan musim tengkujuh akan bertandang tak lama lagi,
“Kelewatan akan menyebabkan kerosakkan dan kerugian berulang semula,” tambah beliau.