Warga Pondok Dan Pusat Pengajian Diseru ‘Memerdekakan’ Islam
HULU TERENGGANU – Seluruh warga pondok dan Pusat Pengajian Islam diseru bersama-sama memperjuagkan dan ‘memerdekakan Islam’ yang masih terbelenggu dalam pemerintahan kerajaan sekarang.
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, sebahagian wasilah atau jalan terlah dibuka luas oleh kepemimpinan negeri ketika memerintah pada tahun 1999 hingga 2004.
Katanya, Terengganu telah memartabatkan Islam, dengan meminda perlembagaan negeri dan menjadikan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai rujukan tertinggi.
Malangnya, menurut beliau, ia masih tidak dilaksanakan sepenuhnya sehingga kini oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN)
“berpandukan rujukan tertinggi itu, undang-undang tubuh kerajaan negeri telah dipinda dan membuka ruang untuk dilaksanakan syariat Allah,
“maka kita yang berada di pondok-pondok dan puast pengajian Islam ini seharusnya dan semestinya, bangun dan bangkit untuk mempastikan ia terlaksana,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ijtimak Pondok dan Pusat Pengajian Islam Kali Pertama di Pondok Ibtidai Batu 22 Kuala Berang, di sini pada Khamis, 25 Januari.
Kira-kira 1000 orang hadir pada program yang dirasmikan oleh Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, yang juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ahli Majlis Syura Ulamak PAS itu berkata, ia menjadi harapan semua umat Islam di negeri dan negara ini untuk melihat syariat Allah itu dilaksanakan dalam pemerintahan.
“marilah kita bersama-sama berada di landasan dan memperjuangkan dan memerdekakan Islam dan syariatnya di atas muka bumi Allah ini,
“bersama-sama kita berazam untuk meneruskan kesatuan dan tekad kita dalam memikul anah kita sebagai hamba Allah,” jelasnya.