PAS Titian Rawa Sahut Seruan Presiden
MARANG – Seruan Presiden PAS bagi mengemaskinikan jentera pilihanraya di cawangan-cawangan bagi persiapan 100 hari menjelang Pilihanraya Umum 14, disambut penuh bersemangat oleh PAS Cawangan Titian Rawa.
Dengan kapasiti seramai lebih 200 orang ahli PAS yang aktif, PAS Cawangan Titian Rawa adalah cawangan pertama yang merasmikan markas PRU 14 di Dun Bukit Payong.
Ketua Cawangan, Jusoh Botok 62, berkata lebih dua ratus orang yang hadir dalam majlis perasmian itu bermula dari petang hingga ke malam.
“Alhamdulillah, kita mempunyai ahli yang ramai bagi menyokong perjuangan PAS dan dengan itu, kami mendirikan markas kami lebih awal bagi menyahut seruan Presiden untuk bersedia awal.
Ahli-ahli kita di sini, jika bermesyuarat tahunan, tidak kurang 80 orang yang akan hadir.
InsyaAllah kita akan mengekalkan sumbangan undi bagi kemenangan PAS di Bukit Payong dalam PRU 14 nanti,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Perasmian maskas telah disempurnakan oleh wakil rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah di mana ianya terletak di perakarangan rumah salah seorang ahli cawangan itu.
Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Mohd Nor berkata, beliau merasa gembira atas semangat yang ditunjukkan oleh ahli cawangan, bersesuaian dengan jumlah keahlian teramai itu.
Beliau juga meminta ahli-ahli mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dalam masa berkempen bagi merayu undi nanti, selaras dengan kehendak parti.