Pengundi Melayu Beralih Arah
MARANG – PAS mendakwa satu kajian yang dibuat oleh sebuah badan firma bebas antarabangsa bahawa sokongan pengundi Melayu Islam kini tidak lagi kepada parti Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata hasil kajian oleh firma antarabangsa mengenai sokongan pengundi Melayu Islam yang beralih arah tidak lagi menyokong Umno-BN mengejutkan.
Katanya, pendedahan itu bukan dibuat oleh pengkaji politik yang pro-Pakatan Harapan, Parti KeADILan Rakyat (PKR) atau Parti Amanah Negara (PAN) tetapi didedahkan oleh Profesor Jomo dalam satu pertemuan dengan PAS.
“Cuma baru-baru ini ada kajian-kajian dibuat oleh firma antarabangsa yang didedahkan oleh Profesor Dr Jomo Kwame Sundraram bahawa sekarang ini pengundi-pengundi Melayu Islam lari daripada Umno-BN.
“Pengundi Melayu Islam yang beralih sokongan itu mereka akan memilih sama ada PAS atau Pakatan Harapan jika tidak lagi menyokong Umno-BN,” ujarnya ketika menyampaikan pembentangan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sempena Countdown 100 Hari PRU14 di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang, pada Sabtu 16 Disember.
Justeru, katanya kajian itu disedari oleh kumpulan Pakatan Harapan yang sengaja mempersepsikan bahawa PAS akan bersama dengan Umno-BN menjelang PRU14.
Menurutnya, PAS akan bertanding sendirian pada PRU14 bersama dengan Gagasan Sejahtera menghadapi Umno-Bn dan Pakatan Harapan.
“Ada orang keliru PAS hanya bertanding 40 kerusi. Itu Terengganu tanding 40 kerusi Dewan Undangan negeri (Dun) dengan Parlimen.
“Kita (PAS) akan bertanding lebih daripada ‘simple’ majoriti di Parlimen. Simple majoriti 112 kerusi tetapi kita tanding lebih lagi dari itu. (kerusi) Yang lain mungkin akan ditandingi oleh NGO-NGO, Parti Ikatan bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) dan lain-lain.
“Maknanya, kita (PAS) bertanding lebih daripada sebelum ini. Tahun 2013 (PRU13) kita (PAS) bertanding 75 kerusi dan sekarang ini (PRU14) kita akan tanding lebih dari 112 kerusi Parlimen. Jumlahnya, kita belum tentukan, mungkin 130 kerusi Parlimen,” jelasnya dihadapan hampir 3,000 petugas parti.