NegeriTerengganu

Pelajar Aliran Agama Dianaktirikan

Oleh : ‘Afini Yahaya

MARANG – Sejarah mencatatkan penindasan demi penindasan yang berlaku dalam sistem pendidikan di negeri Terengganu oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya kepada pelajar aliran agama.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, pernah suatu ketika sistem sekolah agama negeri Terengganu yang melayakkan pelajarnya menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dihentikan.

Katanya, pada tahun 1968 oleh pejabat agama dengan arahan daripada kerajaan yang memerintah Umno-Perikatan pada waktu itu membuat tohmahan, kononnya pelajar sistem pendidikan agama dan Islam, tidak mempunyai nilai ekonomi.

Bahkan katanya, mereka ‘memgadu domba’ dan berkata, mereka payah dapat kerja, nilai gajinya hanya disamakan dengan lepasan SRP atau SPM sekalipun lulusan daripada Al-Azhar.

“Kerana dipengaruhi oleh kefahaman dan semangat sekular yang menilai pendidikan atau ilmu bukan lagi dari dosa pahala atau keberkatan dari Allah,

“tetapi dinilai hanyalah dengan kerja, jawatan, pangkat dan gaji semata-mata. Umno mengubah sukatan dan sistem pelajaran di sekolah agama negeri Terengganu,

“Sehingga hampir lima hingga enam tahun, Terengganu tidak dapat menghantar pelajarnya ke Universiti Al Azhar.,

“Itulah pengkhianatan dan pencabulan yang dilakukan oleh Umno Perikatan pada waktu itu dan selepas itu barulah dipulihkan semula dan dibahagikan kepada tiga aliran”, ujarnya.

Beliau yang ditemui ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Satu Dekad Madrasah Darul Iman (MDI) pada Jumaat 24 November.

Mantan ‘Speaker’ Dewan Undangan Negeri Terengganu itu berkata, sejarah hitam pendidikan kembali berulang apabila jatuhnya kerajaan PAS pada 2004.

Menurutnya, Umno-BN yang dipimpin oleh Idris Jusoh menukar KUSZA yang menjadi hak milik kerajaan Terengganu dan diserahkan kepada kerajaan pusat.

“KUSZA ini dulunya menjadi institusi pendidikan Islam yang dimiliki oleh kerajaan dan rakyat negeri, dengan kuota 75% hingga 80% pelajarnya diambil daripada anak negeri Terengganu,

“manakala hanya 20% hingga 25% sahaja diambil daripada luar negeri Terengganu, tetapi sekarang digadaikan kepada kerajaan pusat dan dijadikan sebagai university,

“Sedangkan kerajaan negeri mempunyai kewangan yang cukup hampir RM2 bilion pada ketika itu untuk menanggung beban pengurusan, pembangunan dan pendidikan di negeri Terengganu”, kata beliau.

Oleh itu, PAS memberi tawaran sebagai janji kepada rakyat Terengganu dalam PRU14, untuk mewujudkan semula institut pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri.

Majlis berlangsung di Pekarangan Madrasah Darul Iman dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali dan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman.

Ustaz Husain Awang yang juga Ahli Majlis Syura Ulama juga menambah, di antara 10 buah sekolah yang dikawal selia oleh Dewan Ulama’ dan dipayungi oleh PAS Terengganu.

Katanya, MDI yang diasaskan oleh PAS Kawasan Marang adalah merupakan sekolah yang paling cemerlang dari sudut fizikal, pengurusan dan pencapaian akademik setakat ini.

“Kami bagi pihak kepimpinan PAS negeri mengucapkan tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah MDI, PAS Marang, ibu bapa dan seluruh masyarakat setempat dan masyarakat Terengganu umumnya,

“yang telah sama-sama memikul tanggungjawab mengukuhkan kedudukan sekolah ini sehingga sampai ke tahap yang kita banggakan,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️