Fastaqim 2.0 ; Tsunami Hijau Bakal Gegar Bumi Terengganu
KUALA TERENGGANU – Tsunami hijau yang kian menular di laman sosial media kini bakal menyaksikan satu lagi lakaran sejarah di bumi Terengganu.
Ketua Ameerah Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, penganjuran Fastaqim 2.0 bermatlamatkan pengembelengan kekuatan dan memimpin kebangkitan pejuang untuk terus istiqamah mendepani cabaran dan memuktamadkan kemenangan yang mana dijangka 200 ribu peserta akan membanjiri Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus.
“Selain itu, pihak penganjur Parti Islam se-Malaysia (PAS) menggariskan beberapa objektif program Fastaqim 2.0 bertujuan menyemarak semangat perjuangan dan memusatkan serta mewujudkan pengarahan,
“Dan memimpin tindakan selain merapatkan saff serta mengeratkan ukhuwah fillah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat seruan agar semua muslimat muda turun menghadirkan diri ke program Fastaqim 2.0, disini.
Menurutnya, persiapan spiritual dan mental serta fizikal perlu dipertingkatkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke –14.
“Selaku negeri tuan rumah, Ameerah Terengganu mengambil kesempatan yang ada menyeru seluruh masyarakat terutamanya penyokong dan pendokong PAS termasuklah golongan wanita muda untuk sama-sama menempah nama bagi menghadiri program Fastaqim 2.0 pada 29 – 30 September 2017 nanti.
“Pelbagai acara menarik disediakan sepanjang program selama dua hari berlangsung. Tidak ketinggalan acara sukan pantai khusus untuk muslimat.
Ayuh, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Marilah kita hadir bersama-sama, buktikan kesatuan kita sebagai umat Islam yang mengimpikan tertegaknya daulah Islamiah di muka bumi ini,”tegas Zuraida.