PAS Yakin ‘Pitas’ Selesai Masalah Rakyat
KUALA NERUS – PAS yakin dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (Pitas) dan pengalaman pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali sebelum ini, dapat mentadbir dan menyelesaikan masalah rakyat negeri ini
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu Dr Alias Razak berkata, bukan bercakap kosong tetapi sarat dengan persediaannya.
“Saya yakin berjaya. Kita (PAS) telah buat satu pelan induk iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera (Pitas).
“Apabila kita masuk Wisma Darul Iman, panggil Mesyuarat Exco Kerajaan negeri, terus kita boleh pegawai-pegawai buat mengikut jabatan masing-masing.
“Bukan kita masuk kosong…arah dia (pegawai) buat sahaja. Sebab, kita sudah ada pengalaman memerintah (tahun) 1999,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal Media 2017 anjuran bersama Unit Media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Terengganu di NR Café Tok Jembal, semalam.
Katanya, dengan pendekatan masakini, Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) PAS yakin dapat memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.
“dengan BPMS bukan mencari masalah dalam kerajaan, ‘problem’ yang ada tetapi penyelesaian kepada masalah itu.
“Itu yang paling penting,” tegasnya dihadapan 350 hadirin.
Sehubungan itu, beliau menggesa Dato’ Seri Najib bersikap ‘lelaki’ sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi mengistiharkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Pilihan raya semakin dekat. Najib umum bila-bila masa. Ayat bila-bila masa ini saya pun boleh kata. Selepas tiga tahun, memang bila-bila masa. Tetapi, dia sebagai Perdana Menteri Malaysia beritahulah senang sikit.
“Dia kena ‘gantelmanlah’ sikit, beritahu kita (rakyat) nak buat pilihan raya bila 12.12.2017 ke, senang. Perdana Menteri, angka itu, tarikh itu ada dalam ‘kocek’ dia. Tidak payah bila-bila masa…bila-bila masa, saya pun kata begitu. Tidak jadi Perdana Menteri pun saya boleh beritahu bila-bila masa ini,” ujarnya dengan nada sinis.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi KAMI, Dr Azman Ibrahim.
Pada majlis makan malam amal media itu, beberapa anugerah diperkenalkan seperti Anugerah Videografi Harapan, Anugerah Fotografi Harapan, Anugerah Aktivis Media Harapan Lelaki, Anugerah Aktivis Media Harapan Wanita dan Anugerah Aktivis Media Sepanjang Zaman.