Batu Rakit Akan Sumbang Kerusi Kemenangan
SETIU – PAS Terengganu yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit akan menyumbang satu kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti dalam usaha untuk kembali memerintah negeri.
Setiausaha PAS Terengganu Haji Muhyidin Abdul Rashid berkata, tidak ada jurang lagi antara PAS dan masyarakat kerana rakyat sudah memahami dasar-dasar yang mahu dibawa oleh parti itu.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, apabila PAS membuang ‘momokan’ yang dibuat oleh Umno dan melaksanakan program-program politik yang matang dan sejahtera.
“rakyat sudah celik dengan suasana politik yang berlaku masa kini (dan) kebangkitan Islam, kebangkitan rakyat memberikan sokongan PAS ,
“untuk memerintah negeri kini semakin jelas dengan program-program yang kita adakan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Setiu di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, hari Jumaat 14 Julai.
Justeru itu, beliau yakin dengan sambutan orang ramai dan kehadiran ribuan pengunjung akan diterjemahkan melalui undi dalam PRU akan datang.
Sementara itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Ustaz Shaharizukurnain Abd Kadir juga melahirkan rasa sukacita dengan kehadiran luar jangka, pada program tersebut.
“dengan sikap keterbukaan kita (PAS), sikap toleransi kita, masyarakat tidak lagi ‘fobia’ dengan PAS,
“Alhamdulillah hari ini jabatan kerajaan mula menjemput kita menyertai program mereka dan menyertai program yang kita adakan,” katanya merujuk kepada pelbagai golongan masyarakat yang hadir di program itu.
Hampir lima ribu orang telah hadir ke majlis rumah terbuka Aidifitri itu yang diserbu lebih awal pada jam 10.00 pagi, walaupun program sebenarnya bermula jam 11.00.