‘Terjah Sahur’ Santuni Petugas Dinihari
Oleh: Shahril Aswad
HULU TERENGGANU – Skuad Cakna Masyarakat Hulu Terengganu (SCM) dengan kerjasama Sahabat Care dan Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT) menganjurkan program Terjah Sahur ke balai bomba, balai polis, JPAM, post pengawal keselamatan serta hospital di sekitar kawasan ini bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan.
Seramai kira-kira 45 ahli SCM, Sahabat Care dan DPPHT dibahagikan ke destinasi yang dipilih bagi mengagihkan sajian sahur, bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir pada jam 3.30 pagi pada Sabtu, 10 Jun.
Destinasi yang dikunjungi adalah Balai Bomba dan Penyelamat Hulu Terengganu, Hospital Hulu Terengganu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Sekolah di sekitar Kuala Berang, Ajil dan Telemong.
Pengarah program, Ustaz Mohd Faizul Abdullah, berkata aktiviti memasuki tahun kedua itu diadakan bagi meneruskan kesinambungan acara tahunan itu yang mendapat sambutan yang menggalakkan pada sesi lalu.
Selain berpeluang menyampaikan juadah sahur kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas, program itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan pasukan terbabit dengan SCM.
“Susulan program terjah sahur kali pertama pada 2016 yang mendapat sambutan, kami berpendapat aktiviti ini perlu diteruskan pada setiap kali Ramadan.
“Program ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kami kepada pasukan bomba, polis, pengawal keselamatan dan kakitangan hospital yang bertugas tanpa mengira masa demi kepentingan orang ramai,” katanya selepas program itu di sini, hari ini.