Umno Zalim, Rampas Tanah Rakyat, Macamana Nak Bergabung Dengan PAS
KUALA TERENGGANU – Walau pada setiap hari di dada-dada akhbar, memaparkan berita dan isu tentang kerjasama PAS dan Umno, namun semua itu bagai mimpi ngeri bagi mereka yang pernah dizalimi Umno.
Antara perkara yang amat dirasai oleh rakyat Terengganu adalah, bagaimana kerajaan Umno merampas semula tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS antara tahun 1999 hingga 2004.
Peraturan pemberian tanah tapak rumah di negeri Terengganu yang ditetapkan adalah, lot-lot tanah walaupun telah diluluskan, tidak diberikan terus sebagai hak milik.
Tanah-tanah yang diluluskan akan diberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) selama tiga tahun supaya mengelakkan tanah-tanah anugerah kerajaan itu benar-benar didirikan sebuah rumah dan tidak dijual.
Ribuan tanah tapak rumah diberikan kepada mereka yang tidak tidak mempunyai tanah semasa pemerintahan PAS merupakan tanah ‘Lesen’ itu, perlu diperbaharui lesennya setiap tahun, sehingga pihak berkuasa puas hati dengan pembinaan rumah dan meluluskan tanah tersebut sebagai tanah milik.
Sewaktu kerajaan PAS jatuh pada tahun 2004, kerajaan Umno telah mengambil kesempatan menzalimi pemilik tanah-tanah TOL ini dengan tidak membenarkan lesen tahunan itu disambung.
Antara Rancangan Tanah Berkelompok untuk tapak kediaman yang menjadi sasaran kezaliman Umno ialah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal di daerah Kemaman, RTB Pengkalan Merbau di Setiu dan RTB Belimbimg Api, RTB Padang landak dan Padang Luas, semuanya di daerah Besut.
Bekas Pengerusi Jawatankuas Syura Rakyat (JSR) Kampung Pengkalan Merbau Haji Jusoh bin Ishak, menyifatkan tindakan kerajaan Umno itu bukan sahaja tidak mengikut lunas demokrasi bahkan tidak menurut syariah Islamiah.
“Perangai hodoh, dia (Umno-BN) tidak ikut perlembagaan…… adat dia tak ikut….syariah pun dia tidak ikut, adat demokrasi hubungan negara atau negeri (sekiranya) orang itu memerintah (dia) orang itulah yang berhak (memberikan tanah), lebih-lebih lagi (kalau ikut) syariah,”tegasnya.
Bekas Seorang anggota tentera, Sarjan (B) Abd khalid Shaari masih tidak lupa kesedihan yang dialami beliau apabila melihat rumahnya dirobohkan oleh kerajaan Umno semasa Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.
“bila rumah saya diroboh, tak tahulah apa saya nak cakap………..sedih……….saya anggota tentera, kalau ikut peraturan, saya layak dapat tanah kerana saya anggota tentera,
“bukan kerajaan tak tahu…………pemimpin atasan tahu……….tapi perangai (kerajaan) Umno begitulah,”ujarnya
Selain dari RTB Pengkalan Merbau di Setiu, hampir 500 lot lagi tanah-tanah yang telah diberi kepada rakyat, namun telah dirampas kembali oleh kerana sifat ‘dengki’ dan ‘khianat’ kerajaan Umno.
Kawasan-kawasan tersebut adalah, Chalok Kedai (130 lot), Sungai Lerek (120), Merbau Menyusut (120) dan Kampung Bukit (120).