Menimba Dan Memupuk Tarbiyah Diri Dari ‘Orang Lama’
Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – Pelancaran Bulan Tarbiyah oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) pada 12 Jun baru-baru ini, disambut segera oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu Mohd Azrin Aris.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DPPNT bersama pemimpin Pemuda Kuala Terengganu telah mengadakan ‘kunjungan silaturrahim’ ke rumah mantan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan menziarahi seorang anggota Keselamatan PAS Terengganu yang uzur.
Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Wakaf Mempelam, selaku orang lama PAS Terengganu, telah menyuntik pemuda dengan kata-kata semangat dalam pertemuan tersebut.
“saya bermula dari (anggota) Pemuda sehingga menjadi YB, YDP dan Pesuruhjaya dan sekarang saya cuma ahli biasa dan YB,
“tapi istiqamah saya pada PAS tidak berubah kerana kita berjuang kerana Allah bukan kerana jawatan dan wala’ kita pada pimpinan cukup kuat,
“saya pernah jadi ahli biasa kemudian naik jadi pemimpin kemudian turun kebawah semula tapi saya masih istiqamah kerana tarbiyah orang orang lama ni……lain caranya,” ujar Haji Wahid kepada seramai 25 orang Ahli Jawatankuasa Pemuda yang hadir.
Selepas program ‘Lawatan Mahabbah’ mengunjungi Haji Wahid, Azrin bersama anggota Pemuda yang sama telaj turun padang, bersama menziarahi Azmi Ali yang baru pulang dari menerima rawatan dari hospital.
Beliau telah mendapat serangan jantung, semasa menjalankan tugas di Muktamar PAS Kali Ke-61 dari 4hb hingga 6 Jun yang lalu.
Walaupun masih dalam keadaan uzur, Azmi sempat memberi kata-kata semangat pada Pemuda yang menziarahinya.
“amanah kepada Parti sangat penting, (dan) jangan termakan agenda jahat musuh,”kata beliau, sebelum anak anak muda beredar, meninggalkan rumahnya, untuk melakukan ziarah pula kepada dua mangsa kebakaran di Kampung Sungai Rengas.
Rumah yang rentung habis adalah rumah kepada emak saudara dan juga sepupu kepada Ketua Pemuda PAS kampung tersebut, Azwa Kassim.
Sebelum beredar, Azrin berkata, beliau mahu bersama-sama kepimpinan Pemuda PAS Kuala Terengganu untuk menjadi pemuda Islam yang ‘serba boleh’.
“Sebenarnya tarbiyah mampu di bentuk dengan gerakkerja yang di rancang………ziarah juga termasuk dalam pendedahan tarbiyah melalui usrah,
“kerana usrah sendiri bermaksud keluarga dan rukun usrah yang pertama adalah ‘taaruf’ (iaitu) kenal mengenal antara ahli usrah itu sendiri dengan berkongsi susah senang,
“barulah kita ‘bertafahum’……….semua ini akan mendidik tarbiyah diri pemuda yang serba boleh,” ujar Azrin.