Misi KAMI dan NGO, Santuni ‘Orang Hanyut’ Rohingya dan Bangladesh di Aceh
KUALA TERENGGANU – Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain akan mengadakan misi ke Kota Langsa Aceh, bagi menyantuni ‘orang hanyut’ Rohingya dan Bangladesh.
Menurut Pengerusinya Dr Azman Ibrahim, selain membuat tinjauan dan liputan tentang Rohingya yang dizalimi ‘junta Myanmar’ itu, dan warga Bangladesh yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia, KAMI bersama para sukarelawan NGO akan menyampaikan sumbangan dari seluruh rakyat Malaysia yang prihatin.
“kita semua tahu dan sedar tentang warga Rohingya yang dizalimi, bukan sahaja dinafikan untuk sebuah khidupan sebagai manusia, malah dibunuh dan disembelih oleh pihak yang berkait rapat dengan pemerintah Myanmar,
“dan warga Bangladesh yang telah menjadi mangsa ‘kebinatangan’ manusia lain, yang mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain, menyebabkan mereka menjadi mangsa, sehingga hanyut dengan bot di Selat Melaka dan di selamatkan oleh nelayan Aceh,”jelasnya.
Antara NGO yang yang turut serta dalam kempen ‘Peduli Rohingya’ dan telah mengesahkan akan menghantar sukarelawan bersama misi itu ialah Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Ameerah dan Rahmat Care.
Katanya, misi yang yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi KAMI, Sazali Mohd Noor akan berlepas dari KLIA pada 6hb dan akan melaksanakan pelbagai khidmat komuniti sebelum pulang ke tanah air pada 10hb Jun depan.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat di negara ini menyelami kesukaran hidup dan kesengsaraan yang dilalui oleh para ‘pelarian’ itu dengan memberikan sedikit sumbangan.
“kita akan In sha Allah menyediakan barangan makanan dan pakaian yang benar-benar diperlukan oleh mereka dengan cara menyemak dahulu, apabila lawatan tinjauan pada hari pertama dibuat, kita akan menyenaraikan keperluan dan membelinya di sana,
“ini akan dapat mengelakkan sebarang pembaziran selain ia akan betul-betul menepati kepada kepada apa sebenarnya yang diperlukan oleh saudara-saudara kita itu pada masa sekarang,”ujarnya.
Oleh itu, orang ramai yang prihatin, boleh mennyampaikan sumbangan mereka dalam bentuk wang kepada misi tersebut melalui akaun PAPISMA No. 5630 6412 2433 (Maybank).
Kata Dr Azman, melalui maklumat yang telah disampaikan kepada pihak KAMI, barangan makanan dan ubat-ubatan adalah antara keperluan pelarian tersebut selain dari pakaian serta peralatan lain.
Pada 15Mei lalu, nelayan Aceh telah menyelamatkan kira-kira 800 orang pelarian warga Rohingya dan Bangladesh dengan menarik bot mereka yang hanyut ke pantai wilayah itu.
Sehingga kini, sejumlah 1,759 orang pelarian Rohingya tersebut termasuk 720 korban pemerdagangan manusia telah diletakkan di tiga penempatan sementara oleh pemerintah Aceh.
Berdasarkan data jumlah pelarian tersebut 564 orang berada di Punteut Kecamatan Blang Mangat Kota Lhokseumawe, 672 orang di Pelabuhan Kuala Langsa, Kota Langsa, 476 orang di Bireun Bayeun, Kecamatan Rantau Selamat, Kabupaten Aceh Timur.
Selain itu, seramai 47 orang menumpang di pejabat daerah Kabupaten Aceh Tamiang dan keseluruhan 1,062 orang Rohingya adalah terdiri dari 565 lelaki, 235 perempuan, dan 225 orang anak-anak.