Home Berita PAS Terengganu

1,797 Warga emas KT terima pencen rakyat

130
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sehingga semalam, seramai 1,797 warga emas di daerah ini menerima Pencen Rakyat Terengganu 2021 dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM1.078 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto PAS, setiap warga emas berumur 60 tahun ke atas layak menerima wang RM600 setahun atau RM50 sebulan secara ‘one-off’

Katanya, dalam majlis yang telah dilakukan masing-masing menerima  RM300 secara tunai dan sebahagian lagi dimasukkan dalam akaun bank mereka tahun ini.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis penyerahan wang tersebut di setiap DUN dan terima kasih juga kepada warga emas kerana sudi menerima pencen berkenaan.

“Semoga Allah memurah dan memberkati rezeki yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum itu seramai 648 warga emas menerima pencen berkenaan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib Kampung Dusun Kuala Ibai, di Dewan Kampung Panji (460), di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan  (384) , dan di Dewan Serba Guna Bukit Kecil (305).

Warga emas itu masing-masing menerima pencen tersebut dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi pada 7 Februari, Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam pada 31 Januari, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pada 23 Januari dan ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar pada 27 Januari.