KEMAMAN – Seramai 1,252 penerima yang terdiri daripada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan bagi meringankan beban mereka akibat musibah yang melanda baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, bantuan tersebut disalurkan secara berperingkat kepada mangsa yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terbabit.
“Pada Jumaat lepas, Seramai 702 penerima dari tiga PPS iaitu Teluk Kalong, Meraga Beris, dan Titian Berayun telah menerima bantuan yang disampaikan di Surau Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.
“Seterusnya, Khamis lepas pula, seramai 368 penerima dari PPS Dewan Sivik Bukit Kuang dan PPS Balairaya Kampung Bukit Kuang bertempat di Masjid Ar-Rahman,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Razali turut memaklumkan bahawa seramai 182 penerima dari empat PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, PPS Padang Kemunting, PPS Batu 9, dan PPS Padang Kubu menjadikan jumlah keseluruhan 1,252 penerima.
“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa-mangsa banjir untuk bangkit semula selepas berdepan dengan ujian ini,” katanya.