Perutusan Dewan Muslimat PAS Malaysia
新年快乐! (Xīn Nián Kuài Lè!)
Salam sejahtera dan salam perpaduan.
Bersempena dengan Tahun Baru Cina 2571 ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin merakamkan ucapan 新年快乐 (Xīn Nián Kuài Lè!) kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbangsa Cina khususnya. Semoga tahun baru ini membawa 1001 kebahagiaan dan kejayaan dalam episod kehidupan yang mendatang.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa kepelbagaian agama, bangsa, budaya, dan bahasa di Malaysia merupakan keistimewaan negara kita. Sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain juga menjadi tunggak perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kepelbagaian ini juga tidak menjadi penghalang kepada pembentukan keharmonian yang dapat menjamin kemajuan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Walaupun Tahun Baru Cina di Malaysia disambut khusus oleh masyarakat berbangsa Cina, kemeriahan perayaan ini turut dikongsi bersama kaum lain melalui acara tradisi makan besar dan pemberian ang pow yang telah sekian lama diamalkan.
Kebiasaan saling memberi dan berkongsi ini mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan budaya.
Perayaan sebegini juga memberi peluang kepada masyarakat majmuk di Malaysia untuk mempelajari dan lebih memahami budaya masing-masing dengan lebih mendalam.
Bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat, ayat ke-13 yang bermaksud,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia berharap agar Tahun Baru Cina kali ini disambut dengan semangat muhibah dan penuh kegembiraan di samping saudara-mara dan sahabat-handai.
Semoga tahun ini memberi limpahan kesejahteraan buat semua.
#IslamMemimpinPerpaduan
#IslamMemimpin,WanitaSejahtera
YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
27 Jamadil Awal 1441
24 Januari 2020