Segamat: Menyedari betapa pentingnya peranan pusat asuhan sebagai pusat perkembangan pendidikan pra awal kanak-kanak,maka Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Negeri Johor yang diketuai oleh Puan Hjh.Kamsiah Abu sebagai Pengerusi Lajnah ,telah melawat TASTI Firdaus baru- baru ini.
Diiringi oleh AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia , Puan Normala Sudirman dan rombongan ,mereka telah mengadakan kunjung mesra dan ziarah mahabbah ke Pusat Asuhan Tunas Insan (TASTI) Firdaus di Segamat,Johor baru-baru ini.
Daerah Segamat telah merintis usaha ke arah penubuhan TASTI Firdaus atas permintaan yang tinggi daripada ibu bapa dan masyarakat setempat yang dimulakan secara berperingkat mengikut prosedur yang telah ditetapkan .
Pusat Asuhan Tunas Insan Firdaus ini menerima permohonan daripada ibu bapa bermula dari bayi berusia 3 bulan sehinggalah mencecah ke usia 4 tahun dengan kadar bayaran berpatutan berdasarkan khidmat yang disediakan .
“Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kegigihan dan iltizam tinggi yang ditunjukkan sehinggalah akhirnya TASTI Firdaus dapat diwujudkan di daerah Segamat ini .Semoga ianya dapat dicontohi oleh semua daerah lain di seluruh negeri Johor”,kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga,Hjh.Kamsiah Abu.
Dalam ziarah mahabbah ini,banyak perkongsian dan pandangan secara dua hala diadakan ke arah penambahbaikan TASTI demi memenuhi tuntutan masyarakat ke arah pendidikan sahsiah dan akhlak terpuji sewal pra awal kanak -kanak lagi.
Penubuhan TASTI Firdaus ini juga sekurang-kurangnya dapat meredakan keresahan ibu bapa dan masyarakat setempat yang berdepan dengan trauma kes Adik Adam Rayqal yang ditemui telah meninggal dunia serta disimpan di dalam peti sejuk oleh pengasuh yang tidak bertanggungjawab barun-baru ini.
” TASTI yang bakal beroperasi di seluruh negeri Johor adalah antara alternatif terbaik yang masyarakat boleh manfaatkan untuk menghantar anak seusia seawal 3 bulan sehinggalah ke usia 4 tahun demi melahirkan generasi yang diterapkan dengan nilai -nilai Islam dan sahsiah yang murni sebagai tapak semaian awal dalam perkembangan pendidikan pra awal kanak -kanak”,kata Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Negeri Johor merangkap Setiausaha Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Normala Sudirman.
Dalam pertemuan singkat ini,Ustazah Maimunah Sofwa Binti Musa selaku Pengerusi TASTI Firdaus berasa sungguh terharu atas kesudian rombongan Lajnah Pembangunan Keluarga ke daerah Segamat.
“Saya berharap kunjungan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana kami akan lebih rasa bersemangat atas sokongan ,galakan dan perhatian serta suntikan motivasi daripada pimpinan negeri yang datang berkunjung ke tempat kami”,katanya lagi.
Rasa gembira juga turut dikongsi bersama oleh Cik Yuhanis Binti Mohd.Aris dan Cik Nurul Amirah Binti Mazlan yang juga merupakan tenaga pengajar di Pusat Asuhan Tunas Insan Firdaus .
“Kami ucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan dan kesudian rombongan Lajnah Pembangunan Keluarga melawat TASTI Firdaus ini untuk menyuntik motivasi dan memberi semangat kepada kami”kata Yuhanis .
“Kunjungan mahabbah ini akan lebih meningkatkan lagi semangat kami untuk buat yang terbaik bagi memenuhi tuntutan masyarakat yang memerlukan pusat asuhan kanak-kanak yang dipercayai dan diyakini demi melahirkan generasi yang beriman dan bertaqwa dalam mencari keredhaan ALLAH SWT”katanya lagi