Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
6 Disember 2020
BATU – PAS Kawasan Batu telah mengunjungi bekas wartawan Harakah, Adnan Ibrahim yang menghidap kencing manis dan beberapa penyakit lain di rumahnya di Kampung Padang Balang, semalam.
Hadir dalam ziarah kasih kali ini adalah pimpinan tertinggi kawasan iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Shamsuddin Yaacob, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Abu Bakar Abd Rahman dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Salbiah Abd Wahab.
Adnan Ibrahim yang telah menanggung kesakitan selama hampir setahun kini hanya berada di rumah dan tidak dapat bekerja seperti biasa.
Kunjungan ini menunjukkan semangat kebersamaan dan empati pemimpin terhadap kepayahan hidup yang dihadapi oleh ahli PAS kawasan.
Ustaz Azhar Yahya turut mengambil kesempatan untuk mendoakan kesembuhan buat Adnan Ibrahim bersama semua yang hadir.
“Semoga Adnan Ibrahim sekeluarga terus redha dan tabah atas ujian yang sedang dilalui dan dianugerahkan sebaik-baik kesembuhan oleh Allah SWT, insyaAllah,” ujar beliau setelah mengakhiri doa.
Sumbangan juga telah diserahkan kepada Adnan Ibrahim bagi meringankan beban yang sedang dihadapi oleh mereka sekeluarga.
Turut serta dalam kunjungan ini adalah Setiausaha PAS Kawasan Batu, Hishamuddin Ghazali, Bendahari PAS Kawasan Batu, Bahar Sairi dan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Batu yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Zurina Din.