Home Berita PAS Kedah

Zakat Kedah dan BIMB tawar skim bantuan rumah

1329
SHARE

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) terus proaktif memberdayakan kehidupan para asnaf untuk keluar dari kemelut kemiskinan mereka menerusi pelbagai inisiatif selain dari pemberian zakat.

Selepas melancarkan kemudahan Klinik Bergerak yang memberikan perkhidmatan kesihatan, terbaru LZNK menawarkan pula permohonan Skim Bantuan Rumah secara pembiayaan peribadi-i asnaf zakat.

Usaha dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad ini menetapkan syarat khusus iaitu warganegara Malaysia beragama Islam yang telah bermastautin atau bekerja di Kedah sekurang-kurangnya 2 tahun.

Pemohon dan pasangannya mestilah mempunyai gaji atau elaun tetap bulanan tidak kurang RM1,200 dan tidak melebihi RM1,500 iaitu pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 bersama slip gaji disertakan.

Pasangan telah berkahwin ini juga mestilah berumur 25 hingga 40 tahun serta bukan penghutang penghakiman atau muflis selain mempunyai geran tanah sendiri atau mendapat kebenaran daripada tuan tanah.

Tapak binaan rumah juga hendaklah selamat didiami dan bukan di kawasan tanah rizab, tepi sungai, tanah jerlus atau kawasan yang boleh membahayakan penghuni dan mesti melepasi tapisan kelayakan.

Sekiranya diluluskan, mereka akan memperolehi rumah bernilai RM45,000 iaitu RM22,500 daripada dana LZNK dan separuh lagi menerusi pembiayaan peribadi Bank Islam di mana RM280 sahaja komitmen bayaran bulanan.

Tarikh permohonan bermula hari ini, 3 Mei sehingga 3 Julai 2021 dengan permohonan boleh dibuat menerusi pautan www.zakatkedah.com.my. – KedahOnline