Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 21

106
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 21

Ayat: 55-56 : Makhluk yang Paling Buruk pada Pandangan Allah SWT

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَاۤبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ فَهُمۡ لَا یُؤۡمِنُونَ (٥٥)

Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerana mereka tidak beriman.

ٱلَّذِینَ عَـٰهَدتَّ مِنۡهُمۡ ثُمَّ یَنقُضُونَ عَهۡدَهُمۡ فِی كُلِّ مَرَّةࣲ وَهُمۡ لَا يتقون (٥٦)

(Iaitu) orang-orang yang terikat perjanjian dengan kamu (Rasulullah SAW), kemudian setiap kali berjanji mereka mengkhianati janjinya, sedang mereka tidak takut (kepada Allah).

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini seperti kesimpulan Allah SWT kepada sikap golongan musyrikin dan umat terdahulu yang ingkar, di mana Dia menjelaskan seburuk-buruk makhluk adalah orang kafir kerana mereka tidak beriman. Allah SWT menggunakan istilah makhluk bukan manusia sebagai satu penghinaan bagi mereka. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang mulia selagi mereka beriman.

2. Ayat ini turut menerangkan tentang dua sifat utama orang kafir iaitu:

a) Tidak beriman dan sentiasa mengingkari ajaran Nabi Muhammad SAW. Setiap kali mereka mengakui mereka beriman, mereka tetap berpaling dan terus-menerus berada dalam keingkaran kepada Nabi, sehingga tidak dapat diharapkan iman dari mereka.

b) Sentiasa mengingkari dan mengkhianati setiap kali berjanji dan mereka tidak pernah menyesal dan takut kepada azab Allah SWT.

3. Asbab ayat ini diturunkan adalah kerana kisah orang Yahudi iaitu Bani Quraizah yang sentiasa mengingkari janji setelah janji itu disepakati dengan membantu musuh Islam yang lain. Setelah Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, baginda mengadakan perjanjian dengan orang-orang Yahudi di Madinah. Dalam perjanjian itu, mereka dibiarkan menetap di Madinah dengan tetap bersama agamanya, dan mereka diberi jaminan keamanan bagi dirinya dan harta bendanya.

4. Oleh itu, Allah SWT menggelarkan mereka seburuk-buruk makhluk (binatang) bahkan lebih buruk daripada binatang kerana mereka tidak memberi manfaat kepada orang lain dan juga diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sangat murka kepada golongan yang khianat dan tidak menepati janji.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah membuktikan keimanan kita dengan mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Janganlah kita mengikuti sifat orang-orang kafir terdahulu di mana mengaku beriman tetapi hati mereka mengingkari dan mengabaikan perintah-Nya.

2. Kita dituntut untuk berpegang kepada janji tidak kira sama ada perjanjian dengan orang Islam atau orang kafir. Jika kita berjanji untuk taat kepada pemerintah, tapi dalam masa yang sama, kita menjalankan usaha untuk memusnahkan pemerintah daripada dalam, ia samalah seperti sifat Yahudi. Ingatlah sesiapa yang memungkiri janji, maka ia akan mengundang kemurkaan yang besar di sisi Allah SWT.

3. Berhati-hatilah dengan perjanjian bersama golongan bukan Islam, kerana mereka tidak beriman kepada Allah SWT dan tidak takut kepadaNya.

4. Kita hendaklah meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dan segera bertaubat sekiranya melakukan dosa. Janganlah kita berbangga dengan dosa yang kita lakukan seolah-olah tiada balasan yang akan diterima. Ingatlah setiap perbuatan itu pasti akan ada balasannya.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Fi Zilal
Tafsir Kemenag (Aplikasi Quran Kementrian Agama Republik Indonesia)

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
3 Mei 2021 / 21 Ramadhan 1442