Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 9 Jun: Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyediakan pelan bersepadu merangkumi kaedah penyampaian silibus, kecekapan guru, kesediaan pelajar dan pemantauan kenaziran serta pembabitan ibu bapa secara atas talian bagi mencapai matlamat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 14 Jun hingga 17 Julai ini.
Pengarahnya, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, PdPR disiarkan melalui Facebook YIK sebagai panduan kepada para guru untuk menyediakan video dan modul untuk memberikan kefahaman mendalam kepada pelajar terutama tingkatan 4, 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menurut beliau, sukatan pelajaran dan buku teks boleh diakses dan dimuat turun melalui blogspot kurikulum, sementara guru pula menggunakan aplikasi Telegram untuk memudahkan mereka memeriksa latihan pelajar serta menghantar laporan melalui pautan khusus kepada pengetua dan unit kenaziran untuk pemantauan.
“Pembelajaran secara maya dilaksanakan mengikut kreativiti guru seperti mengambil gambar latihan di dalam buku serta merekod suara untuk menggantikan arahan sebagai panduan kepada para pelajar menyiapkan latihan yang diberikan sebelum menghantar ke kumpulan Whatsapp masing-masing.
Contohnya, para guru di Maahad Amir Indera Petra, Bachok hanya menjadualkan dua subjek sehari bagi sesi PdPR. Mereka membuat semakan kehadiran, pelajar mempunyai masalah internet atau ketiadaan gajet dan melaporkannya mengunakan Google Form serta mengemelkan laporan setiap hari Khamis kepada Unit Kenaziran”, katanya yang turut berterima kasih kepada Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM), Kota Bharu atas kerjasama mengadakan kursus kepada guru terbabit.
Di samping itu, persiapan dalaman guru dan pelajar turut dititikberatkan termasuk juga pertemuan antara ibu bapa dengan guru mengikut tingkatan untuk membentangkan laporan prestasi tentang anak mereka turut diadakan secara maya.
“Suntikan motivasi dan bimbingan kerohanian kepada guru dan pelajar agar dapat mengawal emosi dan berketahanan mental bagi menghadapi tekanan dalam melaksanakan PdPR ketika wabak pandemik Covid-19 melanda, juga diberikan melalui portal rasmi YIK”, tambahnya ketika diwawancara melalui aplikasi WhatsApp.