Home Berita PAS Kelantan

YIK jamin kebajikan pelajar dan guru terkesan Covid-19

116
SHARE

Oleh CHE MAZIAH MAT

KOTA BHARU, 27 Apr: Sekolah-sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) hari ini telah merekodkan sebanyak lima kluster pendidikan yang melibatkan kakitangan, guru-guru serta pelajar di sekolah tersebut. Kesemua pelajar yang disahkan positif perlu berkampung di asrama sekolah masing-masing serta tidak dibenarkan pulang ke rumah sehingga disahkan bebas daripada pandemik COVID-19.

Pengarah YIK, YM Engku Rajhan Bin Engku Ismail berkata, semua sekolah termasuk sekolah harian biasa dan asrama penuh di bawah YIK di negeri ini ditutup sehingga 1 Mei depan bagi menyekat penularan kes dalam kalangan pelajar. Penutupan sekolah selaras dengan situasi negeri ini yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 29 April.

“ Ibu bapa tidak perlu bimbang akan anak-anak mereka yang dikuarantinkan di asrama sekolah kerana pihak pengurusan YIK amat menjaga kebajikan mereka dari segi bekalan makanan terutama di bulan puasa, waktu berbuka dan sahur.

Ia amat mencukupi bahkan YIK sentiasa menghantar bekalan makanan tambahan. Melalui koperasi YIK, kita juga sedia menghantar barang-barang makanan untuk anak-anak pelajar disini,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas secara terperinci berkaitan situasi jangkitan di lima buah sekolah tersebut beliau berkata, lima kluster pendidikan tersebut antaranya termasuklah dari Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung yang melibatkan 169 orang pelajar yang positif serta seramai 6 orang guru, manakala Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, seramai 236 orang positif dan seramai 10 orang guru yang terlibat.

Selain itu, bagi Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah pula, seramai 375 orang pelajar serta 21 orang guru yang telah dijangkiti dan setelah dibuat “swab test” keputusannya adalah positif. Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulau Chondong pula mencatatkan seramai 172 orang pelajar yang positif beserta 7 orang guru. Seterusnya kluster pendidikan yang terakhir adalah dari Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah di Kampung Banggol Chicha Pasir Mas dengan pelajar seramai 33 orang positif beserta guru seramai 2 orang yang telah disahkan positif.

Kesemua pelajar yang positif ini telah ditempatkan dalam satu dewan asrama khusus untuk mereka sahaja dan pengasingan berlaku di antara pelajar-pelajar yang tidak bergejala. Jadi, keberangkalian peratusan untuk mereka di jangkiti adalah kurang dan dapat dielakkan. Tambahnya lagi, bagi pelajar yang tinggal di asrama juga kekal tinggal di asrama, manakala pelajar di rumah perlu menjaga diri dengan meluangkan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Ini adalah kerana, proses Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) perlu berjalan seperti biasa.

Sebelum ini, media melaporkan data yang ada sehingga 16 April lalu menunjukkan 30 peratus kes aktif adalah daripada warga sekolah sama ada pelajar atau guru atau kakitangan.