Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

YDPA Payung Negara Sanjungan Rakyat Jelata

141
SHARE

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia menjunjung kasih dan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mengharungi ujian pandemik Covid-19 yang melanda negara ini. Tuanku sama-sama turun padang mencemar duli melihat sendiri barisan hadapan negara berjuang menangani penyakit ini.

2. Tuanku umpama payung tempat teduhan rakyat ketika krisis melanda negara. Kita masih ingat bagaimana kelam-kabutnya negara apabila secara tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan pada Februari 2020. Dengan kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, rakyat tenang menghadapi saat-saat getir negara. Sesungguhnya jasa Tuanku menyelesaikan masalah tersebut amat dikagumi seluruh rakyat jelata.

3. Begitu juga, ketika negara dilanda krisis pentadbiran akibat kerakusan pimpinan pembangkang ingin melantik Perdana Menteri mengikut pilihan mereka pada Oktober 2020, Tuanku menolak dengan alasan tiada keperluan ketika itu kerana kes Covid-19 sudah mencapai angka ratusan. Ini menunjukkan bahawa Tuanku selalu berfikir secara adil dan mendahului kepentingan rakyat.

4. Kelulusan proklamasi darurat oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Januari tahun ini dibuat setelah melihat jumlah pesakit Covid-19 yang mencecah ribuan orang. Tuanku melihat keperluan darurat ini untuk membolehkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri berjuang melawan penyakit pandemik ini tanpa gangguan dari pihak lawan. Pihak pembangkang dibolehkan menyalurkan pandangan pada sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan keahliannya ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong terdiri daripada anggota parti-parti kerajaan, pembangkang dan profesional yang berkaitan dalam memberikan input dan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong. Di bawah proklamasi darurat, semua pihak perlu mematuhi arahan apabila diminta oleh Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan sumber seperti sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset berkaitan dengannya.

5. Dewan Muslimat PAS Malaysia amat mengharapkan semua pihak menjunjung kasih kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Tidak perlu kita memprovokasi dan mencabar Yang di-Pertuan Agong seolah-olah Tuanku tidak mengambil berat keadaan rakyat jelata. Jadilah seorang rakyat Malaysia yang menghormati prinsip Rukun Negara. Apa yang perlu, kita sama-sama berganding bahu berusaha membantu rakyat yang memerlukan bantuan ketika ini. Hentikanlah segala tindaka yang merugikan negara dan rakyat amnya.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
9 Jun 2021 | 28 Syawal 1442H