Home Berita PAS Kelantan

YB Hilmi ketuai Misi Balas Budi Kuala Krai 2.0 ke Pahang

185
SHARE

BERA, 9 Jan: Sekali lagi NGO Sukarelawan Rakyat Kuala Krai @ Task Force berjaya mengajurkan Misi Gaha Selut Balas Budi Rakyat Kuala Krai ke Teriang, Bera Pahang.

Operasi pasca banjir siri kedua ini bermula 6 Januari dan berakhir semalam, melibatkan 57 sukarelawan terdiri daripada 14 buah pancuan 4×4 dan sebuah van.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama daripada kelab 4×4 Barracuda Adventure Team dan Page Info Dalam Kuala Krai (IDKK).

Misi operasi ialah berkhidmat mencuci lumpur kesan banjir di masjid, rumah penduduk dan gelanggang futsal di Kampung Teriang.

Selain itu, pasukan sukarelawan turut memberi perkhidmatan baik pulih sistem pendawaian elektrik dan tukar minyak hitam motor kepada masyarakat setempat.

Terdahulu, Task Force Sukarelawan Kuala Krai berjaya melaksanakan Misi Balas Budi 1.0 pasca banjir ke Selangor pada 23-25 Disember sehingga hangat diperkatakan dalam seluruh media sosial.

Ketua misi merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Guchil, YB Hilmi Abdullah turut menyampaikan sedikit sumbangan tunai dan barangan berupa kain pelikat, telekong sembahyang, sejadah dan selimut kepada wakil Khidmat Malaysia Cawangan Bera, Ustaz Shahrul, sebagai tanda kebersamaan dan solidariti dalam menghadapi musibah banjir daripada rakyat Kuala Krai.

“Terima kasih kepada rakyat Bera atas layanan baik dan menjamu kami dengan patin tempoyak Dapur Rakyat @ Khidmat Malaysia untuk santapan tengahri tadi”, catat YB Hilmi di laman sosialnya.