OLEH : NORJULIANA YAACOB
YAN, 21 Okt – Kebimbangan penduduk di kaki Gunung Jerai di sini berkaitan tragedi banjir lumpur yang mungkin akan berulang menjadi kenyataan apabila mereka kini terpaksa mengharungi detik cemas itu sekali lagi.
Ahli Parlimen Jerai YB Ustaz Sabri Azit menasihati orang ramai agar menjaga diri dan berhati-hati.
“Awasi pergerakan anak-anak agar perkara tidak diingini berlaku, InsyAllah semalam saya sudahpun turun melawat sekitar Singkir dan bantuan awal akan kita salurkan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Yan Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, dianggarkan kira-kira 60 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir pada kali ini di Mukim Yan.
“Setakat ini Pekan Yan masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil, walau bagaimanapun keadaan masih terkawal,” katanya.
Katanya, bagi Mukim Singkir pula sebanyak 100 buah rumah terjejas yang melibatkan Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling dan Singkir Genting.
“Air banjir di Singkir Kedai Keling dilaporkan mulai surut dan hujan telah berhenti,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi facebook Polis Daerah Yan, pihak polis menasihati agar orang ramai sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga.
Penduduk yang terjejas juga boleh berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Yan di talian 044657489 jika memerlukan sebarang bantuan daripada pihak polis.