Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Waspada Daripada Memilih Pemimpin Sufaha’

1163
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 08

WASPADA DARIPADA MEMILIH PEMIMPIN SUFAHA’

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Dalam memilih pemimpin, terdapat beberapa kriteria yang jelas dilarang oleh Nabi Muhammad SAW dengan peringatan yang keras. Sehingga Baginda SAW menyifatkan adanya pemimpin sufaha’ (سفهاء) iaitu bodoh.

Jabir bin Abdullah meriwayatkan:

أنَّ النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم قال لكعب بن عجرة: أَعَاذَكَ اللَّهُ مِن إِمَارَةِ السُّفَهاء. قال: وَما إِمَارَةُ السُّفَهاء؟ قال: أُمَراءٌ يَكُوْنُوْن بَعْدِي، لَا يَقْتَدُونَ بِهَدْيِي، وَلا يَسْتَنُّون بِسُنَّتِي، فمَن صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ، وَأَعانَهُْمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ، فَأُولَئِكَ لَيْسُوْا مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُمْ، وَلَا يَرِدُوا عَلَى حَوْضِي، وَمَن لَمْ يصدِّقهم بكذبهم وَلَمْ يُعِنْهُمْ على ظلمهم، فأولئك منِّي وأنا منهم، وَسَيَرِدُوا على حَوْضِي

“Sesungguhnya Nabi SAW berkata kepada Kaab bin ‘Ajrah: Semoga Allah melindungi kamu dari pemimpin yang sufaha’ (bodoh). Berkata Kaab: Siapa itu pemimpin sufaha? Baginda SAW bersabda: Mereka yang diangkat menjadi pemimpin selepas (kewafatan) aku, mereka tidak berpandukan petunjukku, tidak mengamalkan sunnahku, maka sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka dan membantu atas kezaliman mereka. Mereka bukanlah daripada kalanganku, dan aku bukan daripada kalangan mereka serta mereka tidak mendapat telaga (kauthar)ku. Maka sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, mereka itulah daripada kalanganku, dan aku daripada kalangan mereka serta mereka mendapat minum dari telaga (kauthar)ku.” [Riwayat Imam Ahmad]

2. Hadith di atas merupakan signifikan terhadap pemilihan dan kebersamaan dengan kepimpinan terbaik. Nabi Muhammad SAW memberikan ancaman kepada mereka yang membenarkan pendustaan dan membantu kezaliman pemimpin sufaha’ dengan penyesalan di akhirat iaitu tidak mendapat minum dari telaga kauthar Baginda SAW.

3. Lantaran itu, undi yang akan kita berikan bukan sekadar hanya melibatkan kesan di dunia malah ia turut mempengaruhi kesan kehidupan di akhirat kelak. Malah dalam memilih calon dan parti yang akan diberikan mandat untuk memerintah, sepatutnya pengundi kalangan umat Islam mestilah memikirkan sekali soal akhirat. Ini kerana dunia hanyalah jambatan menuju ke akhirat.

4. Memilih pemimpin sufaha’ akan mengundang kerosakan ke atas agama dan urusan dunia. Sebab itu, Allah SWT memperingatkan bahawa kerosakan yang berlaku adalah hasil kerja tangan manusia sendiri.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah Taala hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [ar-Rum: 41]

5. Setiap pengundi yang beragama Islam khususnya diingatkan bahawa berikanlah undi kepada mereka yang layak dan amanah dalam mentadbir bagi menegakkan syariat Allah SWT di atas muka bumi ini. Waspadalah daripada terus mengangkat pemimpin yang Nabi Muhammad SAW sebutkan sebagai sufaha’ kerana kesannya akan merosakkan kesejahteraan ummah.

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

12 Syaaban 1439H / 28 April 2018 (Sabtu)

 

Sila muatturun dokumen (dalam format *.PDF) bagi tujuan cetak dan sebaran melalui pautan di bawah:

risalah untuk pengundi – bil 08