Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Sambutan Perayaan Deepavali Dengan Semangat Perpaduan

515
SHARE

PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat

28 Rabiul Awwal 1442  l  14 NOVEMBER 2020

Sambutan Perayaan Deepavali Dengan Semangat Perpaduan 

1. Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan selamat menyambut perayaan Deepavali kepada seluruh kaum India di Malaysia ini atas semangat kefahaman toleransi dalam kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin dalam peruntukan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

2. Kehidupan hidup dalam masyarakat majmuk memerlukan sikap saling kenal mengenal, hormat menghormati dan bertoleransi dalam aspek kebebasan yang melibatkan hak kemanusiaan bagi mencapai keharmonian dan kesejahteraan sejahat. Malah Islam sendiri mengiktiraf hak kemanusiaan umum antara sesama manusia walau berbilang kaum dan agama sebagaimana firman Allah SWT :

(۞ وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِیۤ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَـٰهُمۡ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّیِّبَـٰتِ وَفَضَّلۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِیرࣲ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِیلࣰا)

Maksudnya :
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. – [Surah Al-Isra’ 70]

3. Sirah kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah menunjukkan nilai hidup dalam masyarakat majmuk tiada unsur paksaan malah keterbukaan dalam menerima kaum Yahudi di Madinah membuktikan Islam agama yang meraikan toleransi dalam kebebasan beragama selagimana semua rakyat di Madinah patuh kepada Perlembagaan menurut Piagam Madinah.

4. Bagi Islam, sekalipun kebenaran merupakan hak ekslusif pegangan Islam namun dalam soal bertoleransi pada perkara yang tidak melibatkan bersekutu dalam soal akidah dan tiada percanggahan syariat maka ia merupakan medan pergaulan yang dibenarkan antara sesama manusia. Malahan Islam sendiri menyukai kita berbuat baik pada kalangan orang bukan Islam yang tidak zalim dan memerangi kita.

Firman Allah SWT :

(لَّا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یُقَـٰتِلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَلَمۡ یُخۡرِجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ)

Maksudnya :
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[Surah Al-Mumtahanah 8]

5. Dengan berbekalkan semangat toleransi yang betul dan menurut lunas Perlembagaan, diharapkan kesepaduan hidup kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini dapat mewujudkan suasana aman, sejahtera dan harmoni sekaligus mengelakkan dari tercetusnya hubungan yang tegas dan kekacauan yang boleh membawa kerosakan kepada ummah dan negara.

Sekian.

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)