Home Berita PAS Kelantan

Warisan harus dipelihara, tatapan generasi mendatang

96
SHARE

KOTA BHARU, 22 September: Program yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Muzium Kelantan adalah amat baik dan menarik kepada masyarakat terutamanya generasi muda untuk mengenali warisan bangsa kita.

Setiap bangsa di dunia ini mempunyai warisan tersendiri, jika dilihat kepada bangsa besar seperti Jepun, Korea, Indonesia dan negara-negara lain, mereka amat menghargai dan memberi perhatian terhadap warisan.

“Maka kita juga di Malaysia seharusnya memberi perhatian kepada warisan yang ada. Sebagai contoh orang Melayu itu sendiri mempunyai banyak warisan ilmu yang bersifat intelektual, warisan seni dan warisan budaya. Istimewanya bangsa Melayu juga ialah warisan yang ada terhasil daripada ajaran agama Islam yang telah diterima oleh nenek moyang kita beratus tahun yang lalu.” Demikian menurut Timbalan Menteri Besar Dato Mohd Amar Abdullah semasa merasmikan Program Muzium Bersama Komuniti di Maahad Tarbiah Mardhiah (MTM), Panchor, Kemumin, hari ini.

Pada majlis yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan yang juga Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman memaklumkan pihak Perbadanan Muzium Kelantan (PMK) telah menyumbang 120 naskah buku yang dikeluarkan oleh PMK kepada pihak maktabah sekolah.

Antara buku yang diberikan berjudul Permainan Rakyat, 50 Tokoh Masyhur Negeri kelantan, Keluarga Diraja Kelantan Darulnaim dan Bedil Meriam di Kelantan.

Selain itu, Pengetua MTM Ustaz Najmuddin Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui portfolio kebudayaan kerana telah memberi sumbangan satu set alat kelengkapan nasyid kepada pihak sekolah.

Sempena program tersebut, turut diadakan ialah pertandingan sukan tradisional, pameran wayang kulit, demonstrasi wau dan persembahan mini teater Tok Janggut daripada Kumpulan Jihad Putera Jeram Majlis Daerah Pasir Puteh.