Home Berita PAS Johor

Wanita PN Muar sepadu tenaga hadapi PRN Johor

359
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 24 Feb : Wanita Perikatan Nasional Muar menggerakkan kerjasama bersepadu bagi melancarkan kerja-kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang akan datang.

Ketua Wanita Perikatan Nasional Muar, Zarina Hassim mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas jentera pilihan raya Wanita PN di sini, kelmarin bertempat di Pejabat PAS Parit Bakar.

“Gerak kerja bersepadu antara Dewan Muslimat PAS Muar dan Srikandi Bersatu Muar harus digembeleng sehabis baik, bersama untuk melancarkan dan menjayakan sasaran matlamat Perikatan Nasional Muar menawan Dun Maharani dan Dun Sungai Balang pada 12 Mac ini.

“Kita haruslah mempergandakan lagi usaha meyakinkan pengundi untuk memilih Perikatan Nasional dalam pilihan raya kali ini. Kita bersama-sama terus mengaturkan strategi dan program mendekati pengundi di kedua-dua Dun,” ujar beliau lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Muslimat Muar, Nor Suriati Zakaria yang mewakili Timbalan Ketua Wanita Perikatan Nasional Muar, Norhayati Sulaiman, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Erliza Hamzah dan ahli jawatankuasanya serta tiga orang wakil muslimat Selangor yang baru sampai untuk bertugas membantu muslimat Muar.

Dalam perjumpaan tersebut, banyak perkara yang disentuh terutama gerak kerja bersama kedua-dua parti melalui jawatankuasa induk yang telah ditubuhkan bagi melaraskan tugas-tugas pilhan raya.

Terdahulu pada 29 Januari lalu, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PAS dan Bersatu akan bertanding pada PRN Johor menggunakan logo PN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.