Home Berita PAS Johor

Jasa sumbangan kerajaan PN kepada FELDA terlalu besar – Muhyiddin

258
SHARE

Oleh ABU HADIF

KULAI, 24 Feb : “Salah satu sumbangan besar kerajaan Perikatan Nasional ketika saya menjadi Perdana Menteri ialah bertekad menyelamatkan tanah Felda daripada tergadai kepada orang asing.”
.
Demikian menurut ucapan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir menyempurnakan Majlis Ramah Mesra bersama para peneroka Felda di Dewan Felda Taib Andak, di sini, semalam.
.
“Saya gembira dapat kembali bertemu dengan warga peneroka di sini. Sebelum ini saya pernah beberapa kali sampai ke tanah rancangan ini sewaktu menjadi Menteri Besar Johor dan Menteri Kabinet.
.
“Saya bersyukur melihat banyak pembangunan di kawasan ini sehingga merubah wajah asal Felda terutama dari aspek kemudahan perumahan peneroka dan infrastruktur seperti jalan raya, dewan orang ramai serta kemudahan asas lain,” kata beliau.
.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan dan pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih RM530 bilion untuk pelbagai lapisan rakyat di negara ini bagi membantu mereka yang terkesan teruk akibat pandemik.
.
Tambah beliau lagi, kerajaan PN telah memperkenal dan memperhebatkan program vaksinasi untuk rakyat sehingga membolehkan rakyat meneruskan kehidupan seperti biasa pada hari ini walaupun dalam norma baharu.
.
“Untuk warga Felda, Kerajaan Perikatan Nasional bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat. Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.
.
“Selain itu kerajaan Perikatan Nasional turut melaksanakan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021 bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka iaitu meliputi kira-kira 34 peratus warga peneroka; dan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM56 juta yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka iaitu kira-kira 6 peratus warga peneroka,” kata beliau.
.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM400 juta bagi membantu peneroka Felda menghapus faedah hutang kebun peneroka dan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu selain penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion.
Kerajaan juga memperkenalkan konsep pertanian pintar bagi mengurus 458,000 hektar ladang Felda dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu yang mampu menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam masa lima tahun.
.
“Program Pembangunan Peneroka (PPP) pula dirangka khusus untuk menggalakkan warga Felda menceburi bidang keusahawanan dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada kitaran harga komoditi serta mempelbagai sumber pendapatan warga Felda selaras dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujar beliau lagi.
.
Muhyiddin juga percaya segala usaha kerajaan Perikatan Nasional ini memberi banyak faedah dan manfaat kepada warga Felda dalam meneruskan hidup khususnya ketika zaman pandemik ini.
.